
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima Deklarasi Majlis Cendekiawan MADANI Malaysia-Indonesia 2025 yang disifatkan sebagai dokumen terbaik disediakan cendekiawan kedua-dua negara dalam mendukung konsep MADANI.
Deklarasi yang merangkumi lima tonggak utama itu diserahkan oleh Pengerusi Pusat Dialog dan Kerjasama Antara Tamadun Indonesia, Prof Dr M Din Syamsuddin dalam satu majlis ringkas di Masjid Putra di sini.
Antara intipati deklarasi terbabit adalah menegaskan konsep MADANI sebagai wawasan alternatif peradaban sejagat, dengan menekankan potensi perkembangan peradaban Melayu-Islam, keseimbangan alam sekitar serta penolakan terhadap pertumbuhan berasaskan eksploitasi.
Ia turut menggariskan pemulihan keseimbangan psikologi individu dan masyarakat, memperkukuh sektor halal dan kewangan Islam ke arah ekonomi yang adil serta meraikan kepelbagaian tamadun dunia.Anwar ketika ditemui menyifatkan deklarasi itu sebagai satu rangkuman yang amat bernilai.
“Ia adalah rangkuman yang sangat baik… generasi MADANI,” katanya ringkas.
Majlis Cendekiawan Madani Malaysia-Indonesia (MALINDO MADANI) adalah inisiatif strategik yang menghimpunkan sarjana, pemimpin pertubuhan Islam, pembuat dasar dan tokoh masyarakat dari Malaysia-Indonesia.
Terdahulu, Anwar diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menunaikan solat Jumaat bersama lebih 4,000 jemaah.
Perdana Menteri yang lengkap berbaju Melayu warna kelabu turut mendengar khutbah bertajuk’Bangkit Membela Teguh Bersaudara’.
Solat Jumaat diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra, Dr Muhammad Zakuwa Rodzali.
Selepas menunaikan solat Jumaat, Perdana Menteri meluangkan masa bersalaman dan beramah mesra dengan jemaah sebelum beredar.

Artikel disadur dari
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/08/1436657/anwar-terima-deklarasi-cendekiawan-madani-malaysia-indonesia#





